Terma Cikgu
Dikemas kini 21 Ogos 2026
Terma ini terpakai kepada setiap cikgu yang mengajar melalui EziQuran. Dengan menerima kelas pertama anda, anda bersetuju dengan semua yang tertulis di bawah.
1. Peranan
Cikgu mengajar pelajar EziQuran sebagai penyedia perkhidmatan bebas. Kaedah pengajaran di dalam kelas adalah budi bicara cikgu; jadual, pakej, rekod kelas dan hubungan dengan keluarga diuruskan oleh EziQuran.
2. Kelas dan laporan
- Setiap kelas ialah 40 minit dalam talian, 30 minit mengaji, 10 minit fardhu ain atau sambungan bacaan.
- Laporan kelas mesti dihantar melalui sistem selepas setiap kelas. Kelas tanpa laporan dianggap belum lengkap.
- Penjadualan, penukaran hari dan kehadiran semuanya melalui sistem, bukan melalui perbualan peribadi.
3. Yuran dan pembayaran
- Semua yuran dibayar oleh ibu bapa kepada EziQuran sahaja. Cikgu tidak dibenarkan menerima bayaran terus daripada ibu bapa atau pelajar dalam apa jua bentuk, tunai, pindahan bank, kod QR, hadiah bernilai, atau melalui pihak ketiga.
- Sekiranya seorang ibu bapa menawarkan bayaran secara terus, cikgu hendaklah menolaknya dengan baik dan memaklumkan kepada EziQuran pada hari yang sama.
- Terma pembayaran khidmat mengajar, kadar, kekerapan dan kaedah, dinyatakan secara berasingan dalam surat tawaran cikgu, dan dipaparkan kepada cikgu di dalam portalnya sendiri. Ia adalah maklumat sulit antara EziQuran dan cikgu berkenaan.
- Pembayaran dibuat bagi kelas yang direkodkan sebagai selesai dalam sistem. Kelas yang ditukar hari dikira pada tarikh ia benar-benar diajar.
- Bonus bintang. Selepas setiap kelas, ibu bapa boleh memberi penilaian 1 hingga 5 bintang kepada cikgu yang mengajar anak mereka. Sekiranya purata bintang seorang cikgu bagi sesuatu bulan mencapai 4.9 ke atas, dengan sekurang-kurangnya 3 penilaian dalam bulan tersebut, cikgu berkenaan menerima bonus 10% daripada bayaran mengajar bulan itu. Pengiraan dibuat sepenuhnya oleh sistem daripada penilaian sebenar, dan bonus dibayar bersama bayaran bulanan. Cikgu melihat purata bulanan mereka sendiri, bukan penilaian individu setiap keluarga.
4. Pelajar EziQuran bukan pelanggan peribadi anda
- Setiap pelajar dan keluarga yang anda kenali melalui EziQuran adalah pelanggan EziQuran. Anda tidak boleh menawarkan, mencadangkan, atau bersetuju untuk mengajar mereka secara persendirian di luar EziQuran.
- Larangan ini terpakai sepanjang tempoh anda mengajar bersama EziQuran, dan selama 12 bulan selepas kelas terakhir anda.
- Anda tidak boleh meminta nombor telefon peribadi, akaun media sosial, atau alamat ibu bapa untuk urusan di luar platform. Sistem sememangnya tidak memaparkan maklumat hubungan ibu bapa kepada cikgu.
- Anda tidak boleh mempromosikan perkhidmatan mengajar anda sendiri, atau perkhidmatan pihak lain, kepada keluarga EziQuran.
Syarat ini bukan kerana kurang percaya. Ibu bapa memilih EziQuran kerana adanya rekod kelas yang lengkap, penggantian apabila cikgu uzur, dan pihak yang bertanggung- jawab apabila sesuatu tidak kena. Kelas persendirian di luar sistem menghilangkan segala perlindungan itu daripada keluarga berkenaan, dan menjejaskan kesinambungan khidmat cikgu bersama kami.
5. Adab dan keselamatan kanak-kanak
- Kelas hendaklah berlangsung pada waktu yang dijadualkan, melalui pautan kelas yang direkodkan dalam sistem.
- Cikgu tidak dibenarkan berhubung dengan pelajar secara persendirian di luar waktu kelas.
- Rakaman kelas tidak dibenarkan tanpa kebenaran bertulis EziQuran dan ibu bapa.
- Dua gambar bilik kelas, pada permulaan dan pada penghujung kelas, hendaklah dimuat naik selepas setiap kelas sebagai rekod kehadiran.
6. Jika terma ini dilanggar
Menerima bayaran secara terus, atau mengambil keluarga EziQuran sebagai pelanggan persendirian, menamatkan perjanjian ini serta-merta. Kelas yang telah diajar dan direkodkan sebelum penamatan tetap dijelaskan mengikut terma pembayaran yang dipersetujui.
7. Menamatkan perkhidmatan
Cikgu boleh menamatkan khidmat pada bila-bila masa dengan notis dua minggu, supaya pelajar dapat dipindahkan kepada cikgu lain tanpa terputus kelas. Seksyen 4 kekal terpakai selepas penamatan.